KLUANG –Pasukan SUKMA Johor muncul juara Kejohanan Johor Futsal Invitation Cup 2026 selepas menampilkan aksi cemerlang sepanjang pertandingan yang berlangsung dari 17 hingga 21 April di Stadium Kluang, Johor.
Kejayaan itu menyaksikan SUKMA Johor membawa pulang Piala Pusingan, pingat serta mock cek bernilai RM5,000. Tempat kedua pula menjadi milik SUKMA Sabah yang menerima pingat dan RM4,000, diikuti SUKMA Sarawak di tempat ketiga dengan RM3,000. SUKMA Pahang melengkapkan kedudukan empat terbaik dengan ganjaran RM2,000 berserta pingat.
Senarai Pemenang:
- Juara: SUKMA Johor
- Naib Juara: SUKMA Sabah
- Tempat Ketiga: SUKMA Sarawak
- Tempat Keempat: SUKMA Pahang
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Hajah Azurawati binti Wahid, Pegawai Daerah Kluang yang mewakili Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Tuan Hj Mohd Anizam bin Jamian (Setiausaha Kehormat PBNJ), Tuan Haji Johari bin Tarmidi (Ahli Jawatankuasa Eksekutif PBNJ merangkap Pengurus Pasukan Futsal SUKMA Johor 2026), En. Mohd Shafiq bin Hassan (Penolong Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor), En. Zainudin bin Md Ramlan (Timbalan PPD SPM mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor) serta ACP Bahrin bin Mohd Noh (Ketua Polis Daerah Kluang mewakili Ketua Polis Johor).
PBNJ dalam kenyataan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pasukan SUKMA dari seluruh negeri yang telah mengambil bahagian, atas komitmen, semangat kesukanan serta prestasi tinggi yang dipamerkan sepanjang kejohanan berlangsung.
Menurut PBNJ, kejohanan ini dilihat sebagai platform terbaik dalam membantu persiapan pasukan menghadapi temasya SUKMA akan datang, selain memperkukuh pembangunan futsal di peringkat negeri dan kebangsaan.
Dalam masa sama, penghargaan khusus turut diberikan kepada SUKMA Johor atas kejayaan muncul sebagai juara, selain memuji saingan sengit yang diberikan oleh semua pasukan lain sepanjang kejohanan. Diharapkan pencapaian ini menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi serta terus memartabatkan sukan futsal negara.