DUA GOL ANUSHKA PACU INDIA TEWASKAN SYRIA
SELAYANG – Dua jaringan Anushka Kumari memastikan India menewaskan Syria 2–0 dalam perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Selepas mendahului 1–0 pada separuh masa pertama, India meningkatkan intensiti serangan dengan permainan lebih kemas sebaik babak kedua bermula.
Tekanan berterusan itu membuahkan hasil apabila Anushka, yang membuka jaringan pada minit kelima, sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-54 untuk menggandakan kelebihan India.
Perlawanan kemudian dihentikan pada minit ke-56 susulan petir yang dikesan semakin dekat.
Selepas aksi disambung, India terus berusaha menambah jaringan, namun pertahanan Syria bertahan dengan baik untuk mengekalkan kedudukan 2–0 hingga wisel penamat.