JDT Terlepas Peluang Manfaat Kelebihan Pemain, Terikat 1-1 Dengan Buriram United
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Buriram United dalam perlawanan yang sarat dengan drama apabila kedua-dua pasukan menamatkan aksi dengan 10 pemain, sementara Harimau Selatan turut mensia-siakan sepakan penalti pada penghujung permainan.
JDT memulakan perlawanan dengan positif meskipun rentak awal sedikit terganggu dengan beberapa kekasaran. Arif Aiman antara yang awal menguji pertahanan lawan, sementara kedua-dua pasukan memperlihatkan pendekatan hampir sama dengan tiga pemain di belakang ketika membina serangan.
Harimau Selatan akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-26 menerusi Óscar Arribas. Pengadil terlebih dahulu memberikan advantage kepada JDT selepas berlaku kekasaran dan keputusan membenarkan permainan diteruskan membuahkan hasil apabila gerakan tersebut berakhir dengan jaringan Arribas.
Bagaimanapun, kelebihan itu gagal dipertahankan sehingga rehat.
Pada minit ke-43, larian pemain Buriram ke sebelah kiri berjaya menarik pertahanan JDT dan membuka ruang di sebelah kanan sebelum Stefan Schimmer melepaskan first-time shot yang cukup kemas untuk menewaskan Syihan Hazmi dan menyamakan kedudukan 1-1.
Kemasukan Bergson tingkatkan urgency JDT
JDT melakukan dua pertukaran sebaik babak kedua bermula dengan Bergson Da Silva dan Nacho Méndez dimasukkan menggantikan Shahab Zahedi serta Afiq Fazail.
Pertukaran itu tidak banyak mengubah struktur asas JDT, tetapi kemasukan Bergson memberikan tenaga dan urgency baharu di bahagian serangan.
Situasi perlawanan kemudian berubah apabila Ken Dougall menerima kad kuning kedua dan diperintah keluar padang pada minit ke-58, memaksa Buriram meneruskan permainan dengan 10 pemain.
JDT selepas itu menguasai permainan, tetapi berdepan masalah untuk memecahkan benteng Buriram yang semakin rendah dan kompak. Pelawat menghantar lebih ramai pemain untuk bertahan dan berjaya menyerap sebahagian besar tekanan Harimau Selatan.
Malah, Buriram masih mampu memberikan ancaman. Sepakan percuma susulan kekasaran Kevin Medina pada minit ke-64 hampir membuahkan hasil apabila tangkapan Syihan pada awalnya kurang kemas sebelum penjaga gol JDT itu pantas mendapatkan semula bola.
Dua minit kemudian, Bergson hampir menghukum Buriram, namun percubaannya hanya singgah di palang sebelum melantun keluar.
JDT kemudian meningkatkan lagi tekanan dengan kemasukan Jairo pada minit ke-74. Jairo diletakkan lebih tinggi bersama Bergson untuk memberikan tekanan secara langsung terhadap barisan pertahanan Buriram, sementara Bergson turut beberapa kali turun lebih dalam untuk melakukan link-up play dan menghubungkan bahagian tengah dengan serangan.
Penalti Bergson gagal
Peluang terbaik JDT untuk kembali mendahului hadir pada minit ke-82 apabila Arif Aiman dikasari di dalam kotak penalti.
Keputusan pengadil memberikan penalti kekal selepas semakan VAR, namun Bergson gagal memanfaatkan peluang keemasan itu apabila sepakan penaltinya tidak menghasilkan jaringan, sekali gus mengekalkan kedudukan 1-1.
Drama belum berakhir.
Pada penghujung permainan, aksi terhenti beberapa minit bagi satu lagi semakan VAR membabitkan kemungkinan kesalahan kad merah. Hasil semakan menyaksikan Eddy Israfilov (No. 23) dilayangkan kad merah, menyebabkan kelebihan pemain JDT terpadam dan kedua-dua pasukan menamatkan aksi dengan 10 pemain.
JDT masih mempunyai peluang besar untuk merampas kemenangan pada masa tambahan apabila Neil Etheridge gagal menangkap bola dengan kemas sehingga bola muntah dengan gawang Buriram terbuka luas.
Namun peluang keemasan itu sekali lagi gagal disempurnakan.
Keputusan 1-1 akhirnya menyaksikan JDT terpaksa akur dengan satu keputusan yang mungkin dirasakan agak merugikan, terutama selepas mempunyai kelebihan seorang pemain untuk tempoh yang panjang, selain mensia-siakan penalti dan beberapa peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan kedua.
Dalam perlawanan yang mempunyai beberapa turning point, kegagalan memanfaatkan kelebihan 11 lawan 10 dan penalti Bergson menjadi dua detik terbesar yang menghalang JDT daripada meraih kemenangan.
KEPUTUSAN PENUH
JDT 1–1 BURIRAM UNITED
⚽ 26’ Óscar Arribas (JDT)
⚽ 43’ Stefan Schimmer (Buriram United)
🟥 58’ Ken Dougall (Buriram United)
❌ 82’ Bergson — penalti gagal
🟥 88’ Eddy Israfilov (JDT)