Kuota 300 Liter RON95 Media Dibawa ke MTEN Selasa Ini
KUALA LUMPUR: Permohonan untuk mengekalkan kuota 300 liter petrol RON95 bagi pengamal media akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Selasa ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu akan dibentangkan untuk pertimbangan lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Saya akan bawa ke mesyuarat MTEN pada Selasa nanti bagi mendapatkan pertimbangan lanjut berhubung permohonan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaya di Pantai Dalam, di sini, hari ini.
Permohonan tersebut sebelum ini disuarakan oleh Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM), yang meminta kerajaan memberi pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar untuk mengekalkan kuota 300 liter petrol RON95 sebulan.
Menurut GKMM, pihaknya menerima banyak keluhan daripada pengamal media, khususnya di negeri-negeri yang memerlukan perjalanan jauh serta kekerapan berulang-alik ke lokasi liputan setiap hari.
Tambahnya, pelaksanaan had kuota BUDI95 sebanyak 200 liter sebulan ketika ini mula memberi cabaran besar kepada wartawan dalam melaksanakan tugasan di lapangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi Fadzil berkata kementerian turut mengambil langkah proaktif bagi memudahkan akses maklumat kepada pengamal media, khususnya berkaitan isu semasa seperti krisis tenaga global.
“Bermula Rabu minggu hadapan, sesi taklimat berkaitan krisis tenaga global serta sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri akan dilaksanakan secara hibrid.
“Ini bagi membolehkan wartawan sama ada bertugas di Putrajaya hadir secara fizikal atau yang berada di Kuala Lumpur mengikuti secara dalam talian serta mengemukakan soalan,” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan akses maklumat lebih menyeluruh selain mengambil kira kekangan logistik dan kos yang dihadapi pengamal media ketika ini.